Tuesday 18 October 2011

Catatan Hati Seorang Perantau - Selamat Tinggal Seri Iskandar

1 comments | Read more...

Di kalangan adik beradik saya seramai 7 orang, boleh dikatakan hanya saya seorang yang hidup merantau jauh dari keluarga. Adik beradik yang lain kebanyakannya tinggal berdekatan dengan ayah dan mama. Paling jauh pun setakat Pulau Pinang sahaja iaitu kakak nombor 2 yang tinggal bersama suami dan anak-anak.

Saya pula sejak dari umur 18 tahun, berhijrah ke Kuala Lumpur kerana sambung belajar. Lepas habis belajar, duduklah sekejap di Puchong bekerja di kilang. Bila dah tak tahan kerja kilang saya ambil keputusan balik ke kampung. Lama jugalah tersangkut di kampung, menganggur sambil menghabiskan boreh mak bapak…he..he..he..he…

Dalam masa menggangur, memang saya rasa hilang semangat nak hidup. Perasaan rendah diri untuk berhadapan dengan orang lain memang benar-benar mencengkam hati. Namun begitu, saya gagahkan juga mencari apa sahaja kerja yang sesuai dengan kelayakan saya. Mama sayalah yang banyak membantu mencarikan kerja untuk saya. Kalaulah mama tak ada masa tu, mungkin sampai sekarang hidup masih terkontang-kanting mencari arah tujuan. Sesungguhnya jasa mama memang tak dapat saya balas walaupun dengan segunung emas. Begitulah agungnya kasih ibu kepada anaknya…sob…sob..sob..sob…

Nak dipendekkan cerita, akhirnya berjaya juga saya mendapat kerja di UiTM sebagai juruteknik komputer. Saya ditempatkan di Kampus Seri Iskandar, Perak. Selama 8 tahun 8 bulan berkerja di Seri Iskandar, banyaklah kenangan pahit manis yang saya lalui. Di sinilah saya bertemu jodoh dengan isteri dan punya seorang anak. Sekarang saya akan berhijrah lagi. Kali ini saya akan ke UiTM Kampus Puncak Perdana.

Di dalam banyak-banyak tempat yang pernah saya menetap, Seri Iskandar lah tempat yang paling saya suka. Keadaan persekitarannya yang masih banyak pohon menghijau dan tak berapa sibuk membuatkan hati saya terasa amat damai di sini. Kalau untuk orang dah berkahwin, memang sesuailah duduk di sini.

Sebenarnya, hati ini agak berat hendak berhijrah meninggalkan Seri Iskandar. Tetapi bila memikirkan keadaan hidup diri dan keluarga yang masih tak berubah maka saya rasa eloklah kami berhijrah mencari kehidupan baru yang lebih baik. Lagipun, isteri saya sudah mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur setelah hampir 2 tahun menganggur sejak berkahwin dengan saya. Kesian juga bila tengok keadaan dia di rumah masa menganggur, duduk tak buat apa. Hanya menabur bakti dan jasa pada saya dan anak saja lah. Bagi saya kalau dia dah ada kelulusan kenapa perlu dipersiakan. Lagipun, nanti, hutang PTPTN dia siapa yang nak bayar.

Saya harap dengan penghijrahan saya ke Puncak Perdana dapatlah membuka lembaran baru dalam hidup saya dan keluarga. Mungkin rezeki saya tak ada di Seri Iskandar. Namun begitu, bumi Allah ini luas dan saya yakin Allah sentiasa akan merancang yang terbaik untuk hamba-Nya. Allah itu Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Dia-lah sebaik-baik Perancang.

Sekian, saya harap sangatlah rezeki saya murah di tempat baru nanti. Ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk anak dan isteri dan malahan untuk ayah dan mama di kampung.

 

SELAMAT TINGGAL SERI ISKANDAR

Tuesday 11 October 2011

Gaji Belum Naik, Harga Dah Naik, Darah Pun Boleh Naik

0 comments | Read more...

Assalamualaikum w.b.t

Sudah menjadi adat resam masyarakat peniaga di Malaysia, apabila kerajaan naikkan gaji penjawat awam, maka berduyun-duyunlah sebahagian besar mereka dihinggapi penyakit gila babi menaikkan harga.

Fenomena menaikkan harga ini tidak tertakluk kepada peniaga barangan runcit semata-mata. Tidak terkecuali juga pengusaha-pengusaha restoran. Apa yang saya tengok, sikap lintah darat golongan pengusaha restoran ini (terutamanya restoran mamak) lebih teruk daripada peniaga runcit. Kenaikan harga perkhidmatan mereka melebihi 100% dan kenaikan itu berlaku dalam masa yang sangat singkat.

Kadang-kadang jengkel jadinya bila melihat gelagat peniaga-peniaga seperti ini yang bagaikan dah kemaruk sangat nak menketedarah duit orang makan gaji.

Saya tak menentang jika masyarakat peniaga hendak menaikkan harga jualan barangan atau perkhidmatan mereka. Tapi, tak bolehkah tunggu tahun depan? Apa akan bangkrapkah peniagaan anda kalau harga barangan dan perkhidmatan anda tak dinaikkan sekarang? Apakah anda fikir kami golongan pengguna ni tak ada benda lain nak dipotong dari hasil pendapatan kami? Dan, mengapa paras kenaikan harga kadangkala begitu tidak munasabah?

Bagi peniaga barangan runcit, mungkin punca kenaikan harga barangan mereka adalah disebabkan manipulasi orang tengah yang tak agak-agak perangai lintah daratnya.

Tapi, apa pula ceritanya dengan pengusaha restoran? Kenapa harga makanan dan minuman boleh naik menjadi begitu mahal (melebihi 100% kenaikan) sedangkan tahap kesedapannya masih di takuk lama? Saya sebagai pelanggan masih lagi boleh melihat kopi susu ceroi yang saya fikir orang yang membancuhnya pun bagaikan hidup segan mati tak mahu. Masih lagi dapat rasa makanan yang tak sesedap mana, tapi harga mengalahkan harga makanan di hotel 3 bintang.

Saranan saya kepada golongan peniaga, kalau harga yang anda tetapkan itu dah mencanak naik, pastikanlah juga kualiti barangan dan perkhidmatan anda tidak di takuk lama atau lebih teruk lagi mencanak turun.

Saranan saya kepada masyarakat blogger, supaya kita buat satu online directory yang menyenaraikan kedai-kedai dan restoran-restoran yang suka sangat mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati. Saya cadangkan nama online directory tersebut dinamakan DIREKTORI KEDAI LINTAH DARAT.

Sekian mohon izin mencadang.        

Thursday 6 October 2011

Blog Melayu Saya

1 comments | Read more...

Assalamualaikum w.b.t

Tangguh punya tangguh akhirnya tercapai juga hasrat nak wujudkan blog dalam bahasa melayu. Sebab bertangguh, bukannya apa, cuma sibuk dengan blog bahasa Inggeris yang kini dah mencecah usia 8 bulan. Untuk pengetahuan, blog bahasa Inggeris saya memuatkan entri-entri yang menjurus kepada bidang saya iaitu teknologi maklumat. Kalau nak tahu apa yang saya tulis dalam blog tersebut, klik sini.

Sekarang berbalik kepada blog melayu saya ni. Cadangnya saya nak jadikan blog melayu ni sebagai blog meluah perasaan. Tapi mungkin akan diserikan lagi dengan entri-entri yang berbentuk pengetahuan am, semasa dan banyak lagi.

Insyaallah, saya akan cuba meluangkan masa untuk update entri-entri di kedua-dua blog saya walaupun mungkin akan agak sibuk dengan isteri dan anak-anak, selain dari perancangan nak sambung pelajaran, ditambah lagi dengan tugas di pejabat.

Akhir kata, kepada semua follower, facebook fan dan pengomen-pengomen yang amat bermurah hati bertandang ke blog bahasa Inggeris saya, terima kasih tak terhingga saya ucapkan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas sifat pemurah tuan dan puan.

Sekian.

Blogger news

Blogroll

Siapa Aku

Seorang lelaki yang berstatus suami dan bapa. Pemalu dan agak pendiam. Suka menulis dan punya cita-cita serta ingin berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Sayangkan isteri dan anak-anak serta ingin melihat mereka bahagia dan berjaya.